Pages

Subscribe:

06 May 2009

Zaidi Muda Taja Akhbar Ke Sekolah



KUALA TERENGGANU 14 April - Pejabat Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM7,000 untuk 10 buah sekolah di kawasan tersebut sepanjang tahun ini.

Pegawai Pembangunannya, Zaidi Muda berkata, kesemua sekolah tersebut akan mendapat 20 naskhah akhbar Utusan Malaysia secara percuma setiap minggu.

Katanya, penajaan ini diharap dapat menyemarakkan semangat gemar membaca di kalangan pelajar selain menjadikan sisipan ADaP, Estidotmy dan akhbar jawi Utusan Melayu Mingguan sebagai bahan bacaan tambahan.

”Selain itu, sekolah-sekolah yang menerima tajaan dapat bersepakat dan bermuafakat dalam menjalankan aktiviti tambahan atau ko-akademik dengan menggunakan akhbar,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas majlis penyerahan cek penajaan Utusan Malaysia kepada Penolong Pengurus Pemasaran Utusan Melayu Wilayah Timur, Azlan Abdul Aziz di SMK Bukit Payong di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Terengganu, Azhar Abu Bakar dan Penolong Pegawai Pejabat Pelajaran Daerah Marang, Yusof Ismail.

Zaidi memberitahu, antara sekolah yang bakal menerima akhbar itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Payong, SK Paya Resok, SK Undang, SK Tok Dir, SK Kedai Buloh, SK Atas Tol dan SK Kampung Bukit.

Sementara itu bagi sekolah menengah pula ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong dan SMK Sultan Mansor.

Menurut Zaidi, tajaan akhbar ini boleh membantu kecemerlangan pendidikan terutamanya pelajar-pelajar di DUN Bukit Payong.

”Matlamat utama tajaan ini adalah untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM),” katanya

Sumber daripada Utusan Online 15/4/2009

No comments:

Contributors