Pages

Subscribe:

21 March 2012

Terengganu Terus Cemerlang SPM 2011.

gambar hiasan
Terengganu kekal cemerlang dalam keputusan SPM 2011 yang baru diumumkan pada hari ini. Gred Purata Nasional (GPN) meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 malah mengatasi GPN yang disasarkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) iaitu sebanyak 5.04. malah, terengganu juga berjaya mengekalkan rekod 4 tahun kecemerlangan berturut- turut dalam  keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Menteri Besar, Dato' Ahmad Bin Said terharu dan bangga dengan pencapaian pelajar-pelajar negeri terengganu. Malah, keputusan itu turut mencatat rekod terbaik dalam tempoh empat tahun yang mana GPN meningkat 4.92 berbanding 5.03 pada 2010 serta mengatasi Gred Purata Nasional (5.04).

Inisiatif kerajaan negeri dalam memastikan  pendidikan sebagai tunjang dalam penghasilan modal insan telah berjaya diterjemahkan dengan melihat kepada keputusan yang amat membanggakan ini. Beliau turut menambah, “Program penghantaran guru ke negara seperti Australia dan korea Selatan juga merupakan usaha penambahbaikan kerajaan negeri dalam menjayakan program 'Terengganu Anjung Ilmu',”.

Sejak dua tahun kebelakangan ini, Terengganu mampu menghasilkan lebih daripada 10 orang calon kategori Gred Cemerlang Tertinggi (A+) ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-ahli Majlis Kerajaan Negeri, di Wisma Darul Iman, hari ini.

Hadir sama Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Haji Mazlan Ngah dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains & Teknologi dan Sumber Manusia negeri, YB Haji Ahmad Razif Abd Rahman.

Katanya, daripada 22,702 calon yang mengambil SPM, seramai 19,755 orang (94.32 peratus) berjaya mendapat sijil SPM berbanding 20,348 orang (94.61 peratus) pada 2010.

“Daripada jumlah itu, seramai 15 calon sekolah KPM (0.06 peratus) berjaya memperoleh A+ bagi semua mata pelajaran berbanding 17 calon (0.08 peratus) yang mendapat keputusan itu pada 2010,” katanya.

08 March 2012

Tahniah buat adik Abdul Rahim.

Kejayaan STPM Abdul Rahim, berkat semangat untuk mengubah nasib Keluarga

Tekad mahu mengubah keadaan keluarga yang kini terpaksa bergantung kepada wang sumbangan tujuh abang dan kakak selepas kematian bapa empat tahun lalu menyebabkan Abdul Rahim Abdullah, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Durian Guling, Marang muncul calon terbaik seluruh Terengganu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 yang diumumkan hari ini.

Anak ke lapan daripada 10 beradik dari Kampung Tebakang, Bukit Payong itu mencapai Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 dengan memperolehi 4 prinsipal A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Dia yang kini menjadi guru gantian bagi mata pelajaran bahasa Arab Tingkatan Satu dan Dua sekolah yang sama sejak 15 Januari lalu, tidak menduga akan mendapat keputusan cemerlang dengan merekod A, masing-masing bagi mata pelajaran Pengajian Am, bahasa Melayu, bahasa Arab, Syariah dan A- bagi mata pelajaran Usuluddin.

“Saya bersyukur dan sangat gembira dengan keputusan yang diperolehi hari ini. Saya berhasrat mahu menyambung pengajian dalam bidang Syariah, Usuluddin ataupun bahasa Arab di Universiti Kebangsaan Malaysia atau Universiti Malaya.

“Selepas ini saya mahu mencapai cita-cita menjadi pensyarah dalam bidang agama, sekaligus tekad mahu mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik. Kejayaan ini juga untuk ibu saya, Romainor Mamat, 53, selain arwah bapa, Abdullah Mat Ali, 54, yang dulu bekerja sebagai pemandu lori kerana mereka banyak menyuntik semangat saya untuk meraih kejayaan ini,” katanya ketika ditemui di SMKA Durian Guling, Marang, sejurus mendapat keputusan STPM, hari ini.

Abdul Rahim pernah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar, Mesir selepas mendapat keputusan cemerlang iaitu 8A, 2B dan 2C dalam Sijil Pelajaran Malaysia 2009 lalu, bagaimanapun faktor tidak mahu berhijrah dan meninggalkan keluarga terutama ibunya yang uzur menyebabkan dia nekad tidak menerima tawaran itu sebaliknya ke Tingkatan Enam di sekolah yang sama.

“Saya membuat keputusan menyambung pelajaran ke Tingkatan Enam juga disebabkan peperiksaan ini tiada tekanan dan cabaran, malah lebih senang belajar di Tingkatan Enam berbanding mengikuti Matrikulasi..Kini terbukti keputusan saya dua tahun lalu itu tidak silap,” katanya.

Contributors