Pages

Subscribe:

20 August 2010

Didik tabiat menabung dari kecil



BUKIT PAYONG - Pejabat Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong mengorak langkah awal dengan menaja hampir 1,800 pelajar di DUN Bukit Payong bagi pembukaan akaun Tabung Haji sebagai galakan menabung.

Pegawai Pembangunan DUN Bukit Payong, Zaidi Muda berkata, buat peringkat permulaan, dua buah sekolah telah dipilih sebagai projek perintis bagi program tersebut iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Payong dan SMK Tun Telanai.

Menurutnya, program itu melibatkan peruntukan sebanyak RM3,000 dan dijadikan sebagai penanda aras bagi melihat kejayaan serta keberkesanan program berkenaan yang mula diperkenalkan pada tahun ini.

“Sebenarnya, program tajaan ini adalah sebagai asas bagi membolehkan golongan sasar menabung pada peringkat awal lagi, termasuk bagi mereka yang datang dari keluarga kurang berkemampuan.

“Kita harapkan ia akan menjadi pendorong untuk mereka menabung, walaupun sedikit tapi ia akan mendidik mereka lebih bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan kewangan dengan berhemah serta dengan cara betul,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Tajaan Pembukaan Akaun Tabung Haji di SMK Tun Telanai, semalam. Seramai 860 pelajar sekolah itu berjaya membuka akaun pada majlis itu.

Mengulas lanjut, Zaidi berkata, pihaknya bercadang memperluaskan program tajaan itu ke sekolah rendah pula bermula tahun depan.

“Kita mendapat maklum balas yang baik daripada ibu bapa dan pihak sekolah mengenai program ini. Saya melihat ia sebagai satu petanda baik dan mungkin kita akan menaja lebih ramai pelajar selepas ini kerana kita mahu mereka belajar menabung sejak kecil,” katanya.

Sementara itu, Zaidi dalam ucapannya berkata, zaman persekolahan seharusnya digunakan sebaik mungkin dan pelajar tidak mensia-siakan peluang untuk menuntut ilmu.

“Seharusnya kita menanam azam untuk merubah nasib keluarga, terutamanya mereka yang datang daripada keluarga miskin dan berazam untuk tidak mewarisi kemiskinan keluarga.

"Sepatutnya kita berasa malu untuk terus bergantung kepada bantuan kerajaan sedangkan kita berpeluang merubahnya kepada yang lebih baik,” katanya.

No comments:

Contributors