Pages

Subscribe:

27 June 2009

Israk & Mikraj, Tiada Alasan Tinggalkan Solat




Salam Bloggers

Masa bergerak deras.Hari ini hari Ahad ,5 Rejab 1430H. Hidup ini dirasai begitu singkat, Hari demi hari beralu pergi, bulan demi bulan datang dan pergi, tahun demi tahun juga datang dan pergi, sedar atau tidak kita sekarang sudah pun berada dalam Bulan Rejab 1430H, sebelum kita melangkah ke bulan Syaaban dan 1agi bulan yang kita tunggu tunggu ketibaannya ilaitu Ramadhan Al Mubarak. Begitulah masa berlalu..............................

Rejab. 1 bulan yang sangat istimewa kepada kita umat islam. kerana ia mengingatkan kita terhadap peristiwa Israk & Mikraj. Pada bulan ini lah Rasulullah diperjalankan dalam peristiwa Israk & Mikraj bagi menerima ibadah yang sangat agung iaitu Sembahyang 5 waktu. Oleh yang demikian kita tiada alasan untuk meninggalkan ibadah agung ini.

Firman Allah Subhanahu Wataala dalam Surah Al-Israa' ayat 1 yang bermaksud:

"Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam) pada malam hari dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda kekuasaan dan kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Peristiwa Israk dan Mikraj merupakan antara mukjizat terbesar Rasulullah S.A.W selepas Al-Quran dan merupakan peristiwa agung dan mulia di mana Rasulullah S.A.W telah diisrakkan dari Masjidilharam ke Masjidil Aqsa dan dari sana Baginda dimikrajkan ke langit. Seterusnya Baginda telah menyaksikan tanda-tanda kebesaran pemerintahan dan kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Dalam peristiwa Israk tersebut, Baginda Rasulullah S.A.W telah diperlihatkan dengan berbagai-bagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perbuatan manusia berserta balasan yang bakal mereka terima. Ini adalah sebagai satu ujian kepada manusia terhadap keimanan dan ketakwaan mereka. Dengan demikian mudah-mudahan akan menambah lagi keimanan dan rasa takut untuk membuat kemungkaran.

Dan sebagaimana lazimnya, pada setiap 27 Rejab, kita akan merayakan sambutan Israk dan Mikraj dengan berbagai-bagai majlis ilmu dan keagamaan. Akan tetapi sejauh manakah penghayatan kita terhadap kisah-kisah yang telah diperlihatkan dalam peristiwa Israk dan Mikraj itu? Adalah tidak bermakna dan tidak bererti jika kita hanya memperingatinya sahaja, sedangkan tidak mengambil iktibar dan tidak membawa kepada perubahan yang positif kepada diri kita. Maka rugilah orang-orang yang mensia-siakan usia dan terus leka dan lalai dalam kehidupan. Sesungguhnya dengan ketaatan dan keimanan kepada Allah Subhanahu Wataala sahajalah yang akan dapat menyelamatkan kita dari kemusnahan baik di dunia mahupun di akhirat.

Di antara hikmah berlakunya Israk dan Mikraj itu, di mana Allah telah memperlihatkan berbagai-bagai kejadian aneh, tidak lain melainkan untuk menjadi peringatan dan pengajaran kepada manusia supaya membuat perubahan positif dan membina terhadap diri mereka. Sebagai contoh, jika dahulunya mengabaikan dan malas untuk bersembahyang maka setelah menghayati peristiwa ini dan mengambil pelajaran dan iktibar daripadanya, ia akan berubah menjadi rajin menunaikannya. , begitulah seterusnya akan mentaati perintah Allah Subhanahu Wataala dan meninggalkan larangan-Nya, bukan terus-menerus bergelumang dengan dosa dan maksiat dan langsung tidak mahu mendengar teguran dan nasihat, ibarat kata perumpamaan 'masuk telinga kanan, keluar telinga kiri'.

Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan sahabat sekalian, marilah kita sama panjatkan doa semoga Allah berikan kepada kita kekuatan untuk memperbanyakkan solat solat sunat dan ibadah ibadah yang lain agar kita menjadi insan yang berkualiti tinggi.

wassalam.

No comments:

Contributors