Pages

Subscribe:

18 October 2009

Untungnya bersatu dalam senyap ( Dipetik dari tulisan Dr. Ridhuan Tee Abdullah)

PERGOLAKAN yang berlaku dalam sebuah parti politik MCA baru-baru ini, jangan dipandang terlalu serius oleh kita semua. Itu adalah perkara yang biasa berlaku dalam politik. Persoalan lebih penting adalah apa yang boleh kita belajar? Saya tidak terlalu bimbang dengan MCA dan Gerakan, kerana sebenarnya kedua parti ini tidaklah sekuat mana di kalangan orang Cina berbanding dengan sebuah lagi parti Cina yang ultra kiasu itu. Dengan sebab itu, saya tidak berapa ambil kisah atas nasib yang menimpa kedua-dua parti komponen BN ini.

Saya akan menjadi lebih teruja jika dapat melihat parti ultra kiasu itu bergolak. Tetapi sehingga ke hari ini parti tersebut jarang benar bergolak. Tetapi parti ini terus menjadi matang dan telah melalui banyak pengalaman berguna. Lebih penting lagi mereka telah dapat membaca dengan rapi akan psikologi orang Melayu. Ia semakin mendapat perhatian dan kepercayaan, sehingga ramai yang terpedaya. Apatah lagi parti ini amat jarang sekali kalah di kawasan majoriti Cina dalam mana-mana Pilihan Raya Umum (PRU) dan pilihan raya kecil. Silap-silap mereka akan menang di kawasan majoriti Melayu suatu hari nanti. Itu adalah tidak mustahil, jika orang Melayu bertindak marahkan nyamuk kelambu dibakar, berbanding mengamalkan carik-carik bulu ayam, akhirnya bercantum jua.

Jika kita membuat sedikit analisa pilihan raya, kebanyakan kerusi yang dimenangi oleh MCA dan Gerakan adalah kerusi yang dipertandingkan di kawasan majoriti Melayu. Jika MCA dan Gerakan bertanding di kawasan majoriti Cina menentang parti ultra kiasu itu, saya yakin, kedua-dua parti ini akan kalah teruk. Contoh, di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan majoriti kawasan bandar. Itulah trend pengundian yang saya harap pembaca dapat faham makna tersurat dan tersirat.

Mungkin ada yang akan bertanya kenapa selama ini parti Gerakan dapat bertahan di Pulau Pinang? Jawapannya, lihat sejarah Gerakan dan punca-punca berlaku peristiwa 13 Mei 1969, yakni sebelum menyertai Barisan Nasional. Gerakan menjadi pilihan kerana Gerakan ketika itu begitu lantang dan vokal memperjuangkan nasib bangsa. Tetapi apabila Gerakan dilihat semakin bertolak ansur dengan BN, akhirnya ia ditolak, maka menanglah parti ultra kiasu itu dalam PRU 12. Ringkasnya, semakin ultra kiasu sesebuah parti politik itu, semakin ia mendapat sokongan dan perhatian. Bermakna, parti yang ultra kiasu akan mendapat sokongan padu daripada mereka yang ultra kiasu. Saya tidak menuduh semua orang Cina ultra kiasu. Yang pasti, ultra kiasu ini tetap menang besar di kawasan majoriti yang diwakilinya.

Saya yakin, selepas ini mungkin parti ultra kiasu tersebut akan meletakkan satu dua orang calon Melayu di kawasan majoriti Cina, bagi membuktikan bahawa mereka adalah parti berbilang kaum. Saya turut yakin calon-calon itu akan menang besar. Namun, itu bukanlah suatu yang menghairankan atau memeranjatkan. Hanya yang kiasu sahaja yang dapat membaca politik kiasu. Jika calon Melayu itu menangpun, calon Melayu tersebut tidak akan boleh berbuat apa-apa, sebab ia tetap dikuasai oleh mereka yang ultra kiasu. Kewujudan orang Melayu dalam parti tersebut adalah satu permainan wayang kulit yang cuba dipertontonkan untuk mengaburi mata kita.

Kita jangan tertipu dengan permainan silap mata mereka. Kemunculan beberapa tokoh Melayu dan juga India yang dilantik dalam kepepimpinan parti mereka hanyalah sandiwara untuk membuktikan bahawa mereka tidak chauvinis. Dengan sebab itu, bila ada orang Melayu yang agak berpengaruh menyertai mereka, maka cepat-cepat dilantik sebagai Naib Pengerusi. Mungkin selepas ini, sebagai timbalan pengerusi. Saya masih menunggu apakah orang Melayu akan dilantik sebagai pengerusi parti ultra kiasu suatu hari nanti? Tunggu dan lihat! Apapun, inilah strategi licik mereka yang kita masih terlepas pandang. Justeru, janganlah risau sangat pasal masalah dalaman MCA dan Gerakan. Apa yang penting yang perlu kita lakukan ialah mendedahkan tembelang parti ultra kiasu supaya orang Melayu dan orang Cina lain yang cintakan tanahair ini agar tidak tertipu.

Jika para pembaca tidak percaya apa yang saya katakan, cuba bangkitkan isu Ketua Menteri Pulau Pinang untuk digilirkan di kalangan pelbagai kaum dalam pakatan mereka atau dalam Barisan Nasional? Saya yakin, bukan sahaja parti ultra kiasu ini akan terkinja-kinja, malahan mereka yang tidak berkaitan dengan parti ultra kiasu ini juga akan bersatu bersama parti ultra kiasu ini menentang keputusan tersebut.

Ketua Menteri
Pokoknya, Ketua Menteri Pulau Pinang tidak boleh terlepas kepada kaum lain. Pada hemat saya, siapapun yang memerintah Pulau Pinang antara ketiga parti ini adalah tidak penting. Yang penting orang Melayu tidak boleh menjadi Ketua Menteri di sana. Sebarang percubaan dan usaha akan ditentang habis-habisan.

Justeru, saya tidak hairan dengan apa jua krisis yang melanda dalam parti-parti politik bangsa saya. Benar, mereka nampak seolah-olah berpecah. Mereka bertikam lidah sehingga gamat. Tetapi sebenarnya, mereka bersatu dalam senyap. Parti ultra kiasu ini akan lantang mendesak, mengkritik dan menghentam. Tetapi itu bukan hentaman kosong. Siapakah yang bekerjasama secara senyap?

Dua parti komponen ini akan senyap-senyap menyampaikan kepada BN bahawa tuntutan dan desakan ini perlu dipenuhi. Jika tidak, undi akan lari, orang Cina akan marah dan beralih arah. Itulah sebenarnya mesej dalam PRU 12. Inilah yang saya katakan bersatu secara senyap walaupun di luar nampak berpecah.

Begitulah juga beruntungnya MCA dan Gerakan yang dilihat lunak dengan kerajaan. Orang Melayu pula akan memberi sokongan kepada mereka tanpa berbelah bahagi kerana itulah sikap Melayu di bumi Melayu. Akur kepada arahan pimpinan. Sanggup ketepikan calon sebangsa seagama kerana mereka diajar supaya taat kepada pemimpin. Perkara ini telah berlaku sejak zaman feudal lagi, pantang Melayu menderhaka. Konotasi ini ada baik dan buruknya, terpulang kepada kita untuk menilai.

Parti politik Cina amat beruntung kerana di luar, ada yang lantang mengkritik, mendesak dan menuntut, pada masa sama di dalam ada yang bekerja dan memujuk. Tidak kira di mana negeripun mereka berada, sama di dalam pakatan atau dalam kerajaan. Mereka tetap untung.
Tidak seperti parti politik Melayu, di luar begitu lantang mengkritik, di dalam tidak ada seorang yang memujuk. Sebab parti politik Melayu (UMNO) hanya ada satu dalam kerajaan. UMNO keseorangan dalam kerajaan berhadapan dengan mereka yang lain, yang tidak habis-habis mendesak.

Saya amat faham benar, kenapa kadang kala UMNO ini terpaksa mengalah, kerana UMNO tersepit, ibarat di luah mati bapak, ditelan mati emak. UMNO tidak ada pilihan sebab rakan sebangsa dan seagama tidak bersama mereka. Rakan sebangsa dan seagama yang lain berada di luar. Kerjanya, mencari salah orang, menghentam dan mengkritik, tetapi kurang pandai memujuk. Akhirnya siapa yang rugi? Inilah nasib Melayu di bumi Melayu.

No comments:

Contributors