Ahli Parlimen Hulu Selangor Meninggal Dunia- Al Fatihah
Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia di kediamannya di Batu 9 1/2, Jalan Cheras, Kajang, kira-kira 9.27 malam ini akibat barah otak, demikian menurut adiknya Md Hambali Ahmad.
Zainal Abidin, 71, meninggalkan isteri, Datin Siti Zaharah Mohd Zin, dan empat orang anak.
Beliau yang memenangi kawasan Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum Mac 2008 di atas tiket PKR, pernah menjadi Timbalan Menteri Besar Selangor ketika dalam UMNO semasa Tan Sri Muhammad Haji Muhammad Taib menjadi Menteri Besar.
Sebelum dilantik sebagai Timbalan Menteri Besar Selangor pada 1999, Zainal pernah menjawat jawatan Exco negeri, antaranya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Penyelidikan dan Pengerusi Jawatankuasa Perjawatan, Pendidikan dan Sumber Manusia.
Zainal Abidin adalah seorang ahli akademik sebelum menceburi dunia politik sepenuh masa.
Dilahirkan di Cheras pada 10 Oktober 1939, beliau memulakan kerjaya sebagai guru di Sekolah Tinggi Kajang (1961-1968) dan kemudiannya Pengetua, Sekolah Menengah Kuala Kubu Baru dari 1972-1973, sebelum dilantik sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1974.
Zainal yang mendapat Doktor Falsafah Sains Politik dari University of California, Los Angeles, pada 1980 pernah menjadi Dekan, Fakulti Pendidikan UKM sebelum meninggalkan dunia akademik dan menyertai politik pada 1989.
Dalam UMNO, Zainal Abidin pernah menjadi Pengerusi, cawangan UMNO Cheras (1987) serta pernah mengetuai UMNO Bahagian Hulu Langat untuk beberapa penggal.
Zainal Abidin menyertai PKR pada 2005 dan menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi parti itu bagi penggal 2007/2010.
Zainal turut aktif dalam pelbagai pertubuhan dan pernah menjawat jawatan seperti Pengerusi Persekutuan Pelajar Melayu, Pengerusi Majlis Pemuda Hulu Langat dan Naib Presiden Persatuan Olahraga Amatur Selangor.
Semasa dalam UMNO, Zainal memenangi tiga penggal berturut-turut kerusi DUN Dusun Tua atas tiket Barisan Nasional (BN), pada pilihan raya umum 1990, 1995 dan 1999.
Pilihan raya umum ke-11 pada 2004, Zainal digugurkan daripada menjadi calon.
Pada pilihan raya umum Mac 2008, Zainal membuat kejutan dengan merampas kerusi selamat BN di Hulu Selangor daripada penyandang Datuk G Palanivel yang juga Timbalan Presiden MIC, dengan majoriti tipis 198 undi.