Pendidikan jana modal insan berkualiti
PEKAN BUKIT PAYONG - Peluang pendidikan dan kemahiran yang disediakan kerajaan perlu digunakan sebaiknya bagi memastikan rakyat negeri ini dapat membina modal insan berkualiti, selain berjaya merapatkan jurang kemiskinan antara rakyat.
Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda berkata, hanya dengan ilmu dimanfaatkan berjaya merealisasikan hasrat itu. Menurutnya, usaha kerajaan yang dibuat sejak bertahun lamanya itu adalah antara langkah jangka panjang dilaksanakan supaya semua lapisan masyarakat mendapat manfaat daripadanya.
“Kerajaan berusaha gigih membantu sedaya mungkin, sama ada dari segi bantuan kewangan dan pendidikan tetapi kami melihat pendidikan sahaja mampu menjadi pelaburan terbaik dalam usaha membantu rakyat meningkatkan taraf ekonomi dan segala aspek kehidupan. "Walaupun pelbagai cabaran terpaksa ditempuh bagi melaksanakannya, kami memerlukan sokongan rakyat supaya segala perancangan dibuat dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mesra & Motivasi bersama penerima bantuan kebaji-kan masyarakat DUN Bukit Payong di Masjid Bukit Payong. Seramai 290 penerima bantuan kebajikan masyarakat di DUN Bukit Payong hadir pada majlis itu.
Turut serta, Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Noor Hayati Zaman. Sementara itu, Zaidi turut melahirkan rasa simpati kepada semua rakyat di negeri ini, khususnya di DUN Bukit Payong yang terbabit dengan banjir, minggu lalu. “Sudah 23 tahun pusat pemindahan banjir di DUN Bukit Payong tidak dibuka dan paling akhir dibuka pada 1986. “Saya faham, mungkin ada yang rasa tidak selesa sewaktu berada di pusat pemindahan.
Saya memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan ketika proses pemindahan dan sewaktu berada di pusat berkenaan,” katanya. Zaidi berkata, sebagai pemimpin kawasan dan turut terbabit secara langsung sewaktu bencana tempoh hari, dia percaya semua pihak dan agensi yang terbabit sudah memberikan perkhidmatan terbaik, terutama bagi memastikan semua mangsa selamat banjir mendapat bantuan, sumbangan serta pertolongan sewajarnya.
10 months ago
No comments:
Post a Comment