
Asiah berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya selepas menerima bantuan peralatan bagi memulakan perniagaan membuat kuih karipap seperti sebuah peti sejuk beku, alat pengadun tepung dan dapur bernilai RM7,000.
Bantuan peralatan disampaikan Pegawai Pembangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Zaidi Muda dan Pegawai YPK daerah, Syed Lizam Sukairi Syed Abu Bakar.
Asiah berkata, dengan harga sebiji kuih 30 sen termasuk yang sejuk beku, dia berharap usahanya akan mendapat sambutan ramai.
Mengakui kerja tersebut memerlukan semangat dan keyakinan tinggi, ibu kepada lima anak itu berkata, pandangan orang tidak akan mengubah kehidupan seseorang itu sekiranya dia sendiri tidak berusaha untuk berubah dan keluar daripada garis kemiskinan.
“Cukuplah jika saya dapat menyara lima orang anak dan membantu suami, Kamarudin Mamat, 36, yang bekerja sebagai tukang rumah dengan pendapatan hanya RM500 sebulan,” katanya kepada Sinar Harian.
Asiah juga bertuah kerana anaknya, Nurulhuda, 15, Alinawati, 12, Mohd Amirul, 10, Mohd Syahrul, 9, dan Sharul Nizam, 2, serta suami sanggup membantu mengembangkan perniagaan itu.
“Selepas ini saya akan bangun setiap Subuh menyediakan karipap untuk dijual manakala anak perempuan saya boleh menumpukan tugas menggoreng pada hari cuti,” katanya.
No comments:
Post a Comment