Pages

Subscribe:

30 July 2011

Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan.

Assalamualikum buat semua.

Satu atau pun dua hari lagi kita akan menyambut kedatangan bulan penuh berkat, Ramadhan Al Mubarak. Kita terus berdoa moga dipanjangkan usia, diberi kesihatan yang baik serta diberi kekuatan untuk mencari keredhaan Allah di bulan yang mulia ini.

Saya merasakan setiap dari kita telah membuat persiapan yang rapi bagi menyambut tetamu agung ini. Kegembiraan terbayang diwajah orang orang yang beriman untuk menerima kunjungan Ramadhan. Mungkin bagi bagi mereka yang tidak beriman, bulan ini akan disambut dalam suasana sedih kerana terpaksa berpuasa disiang hari dan sebagainya lagi.

Ramadhan sudah pasti akan mengingatkan kita kepada ibadah puasa, Solat Terawikh, Solat Witir, Tadarus Al Quran, Zikir, Qiamullail, Malam Lailatul Qadar dan sebagainya. Maka sudah sewajarnyalah kita mengambil peluang ini dengan sebaik yang mungkin.

Bagi kita di bumi Terengganu pula, budaya lama yang bersemadi mestilah dibuang jauh jauh. Antaranya, konsep Solat Terawih. Biasa pada awal Ramadhan , masjid masjid akan dipenuhi oleh para jemaah sama ada kecil, remaja dan dewasa mahun orang orang tua.

Namun ia semakin berkurangan apabila saat Ramadhan hendak meninggalkan kita. Apabila sampai malam 10 terakhir, jemaah semakin berkurangan. Menjelang satu atau dua hari sebelum raya, jemaah yang ada adalah jemaah yang biasa datang ke masjid semasa solat 5 waktu sebelum ini. Jemaah lain mungkin sudah disibukkan dengan persiapan menjelang Hari Raya.

Sepatutnya 10 terakhir ini jemaah semakin ramai bagi bertemu dengan satu malam yang lebih baik dari 1000 bulan iaitu malam Lailatul Qadar. Budaya ini , saya perhatikan sejak dari dahulu sampai sekarang walaupun pelbagai ceramah dan ilmu telah disampaikan.

Ingat sabda Rasulullah saw, ' Ramadhan ilah bulan rahmat dipermulaanya, keampunan dipertengahannya dan kebebasan dari api neraka di pengakhirannya.

Sebagai seorang islam, budaya membazir juga harus dielakkan. Jangan kita menyediakan juadah yang banyak untuk berbuka tapi akhirnya ia akan menjadi makanan binatang pada kesokan harinya. Jangan kita jadi Ramadhan sebagai satu pesta makanan. Ingatlah kepada mereka yang susah yang tidak mempunyai makanan untuk berbuka puasa.

Rakyat Malaysia dikurniakan kemewahan yang melimpah ruah. Jangan kita gunakan nikmat ini untuk melakukan pembaziran. Kekenyangan akan meletihkan badan dan meyebabkan kita tidak dapat melaksanakan ibadah dan ketaatan pada malamnya.

Insyallah bersempena dengan kedatangan ramadhan ini, Kerajaan Negeri akan mengagihkan kurma dan Air Zam zam ke setiap rumah di DUN Bukit Payong. Disamping itu bantuan kewangan kepada masjid dan surau juga akan diagihkan untuk pelbagai aktiviti pengimarahan masjid dan surau di bulan yang mulia ini.

Bantuan zakat juga telah diagihkan kepada orang orang miskin bagi menyambut Ramadhan. Seramai 1070 orang warga DUN BUkit Payong telah pun menerima agihan wang zakat ini. Oleh yang demikian tidak sebab untuk kita melepaskan peluang dan ganjaran pahala cukup besar yang dijanjikan oleh Allah dalam bulan yang mulia ini.

Dikesempatan ini, Saya dan keluarga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN kepada muslimin dan muslimat khususnya warga Bukit Payong dan seluruh Rakyat Malaysia yang beragama Islam.. Kita sama sama berazam untuk melakukan yang terbaik di bulan Ramadhan pada tahun ini.

Kepada mereka yang tidak sempat untuk bersama Ramadhan tahun ini kerana dipanggil oleh Allah terlebih dahulu, kita sedekahkan Al Fatihah buat mereka. Moga roh mereka dicucuri rahmat menjelang Ramadhan yang sangat mulia ini.


wassalam.

No comments:

Contributors