10 months ago
15 November 2010
Salam Pengorbanan di Idul Adha
Salam 2 all
Pada saat dan tika saya menulis catatan ini, seramai 2.5 juta orang tetamu Allah sedang menunaikan ibadah wukuf di Padang Arafah iaitu salah satu rukun haji. Semuanya memakai ihram berwarna putih melambangkan manusia itu sama sahaja disisi Allah melainkan iman dan takwa. Kita mendoakan mereka semua selamat dan dikurniakan kesihatan yang baik bagi meneruskan ibadah ini hingga selesai dan mendapat haji yang mabrur.
Bagi kita di Tanah air, Hari Raya Idul Adha akan disambut pada hari rabu (17 Nov 2010). Idul Adha sudah pasti akan mengingatkan kita terhadap pengorbanan besar Ibrahim dan Nabi Ismail. Ini lah pengorbanan terbesar dalam sejarah manusia di muka bumi ini.
Setelah beberapa kali membaca sejarah pengorbanan ini, hati terasa sayu kerana mengenangkan dugaan Allah terhadap 2 insan ini. Bayangkan taktala nabi Ibrahim berkata kepada anaknya, " Hai anakku Ismail, sesungguhnya aku melihat dalam tidurku bahawa aku menyembelihmu, maka bagaimana pendapat mu".
Lantas si anak menjawab " wahai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan kepada ayah, insyallah ayah akan mendapatkan saya termasuk ke dalam orang yang sabar". Ini lah jawapan dari seorang anak yang sanggup mengorbankan jiwa raga demi kerana Allah.
Ini lah contoh terbaik yang sepatutnya menjadi ikutan kita semua. Alhamdulillah di negara kita tercinta ini, ibadah korban banyak dilaksanakan di sana sini. Umat islam dinegara ini tidak sayangkan harta benda dan wang ringgit demi untuk melaksana perintah Allah ini.
Cuma apa yang mendukacitakan kita, Idul Adha ini tidak disambut semeriah Idul Fitri. Kebanyakan orang hanya menganggap Hari raya Haji ini adalah untuk orang yang pergi buat haji di Mekah. Ini adalah satu pandangan yang silap. Sepatutnya Idul Adha disambut dengan lebih meriah lagi berbanding dengan Idul Fitri.
Hari ini kita disunatkan membesarkan Allah dengan laungan takbir dan tahmid selama 4 hari berbanding dengan Idul Fitri yang hanya disunatkan bertakbir 1 hari sahaja. Ibadah korban juga boleh dilaksanakan dalam masa 4 hari.
Kita berdoa semoga dengan kedatangan Idul Adha ini lebih mendekatkan diri kita dengan yang maha pencipta dengan mengambil pengajaran yang besar dari peristiwa pengorbanan Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Ismail.
Dikesempatan ini saya ucapkan Salam Idul Adha buat semua warga Bukit Payong, buat keluarga saya, Ibu bapa, isteri dan anak anak tersayang.
salam Idul Adha juga buat pemimpin negara terutamanya YAB Perdana Menteri, YAB Timbalan perdana Menteri dan para pemimpin yang lain. Tidak lupa buat YAB Dato' Seri Menteri Besar Terengganu dan Exco Kerajaan Negeri. Akhirnya buat semua pimpinan di Bukit Payong.
Selamat Hari Raya Korban.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment